Temubual bersama Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff oleh Wartawan BH Ahad, Nazura Ngah dan Mohd Nasaruddin Parzi

Disiarkan di Berita Harian Ahad, 23 Julai 2017

Kajian Persepsi mahasiswa Mengenai Rasuah oleh Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) terhadap 402 responden mahasiswa di tiga university utama tempatan mengejutkan ramai pihak. Ramai beranggapan kegagalan golongan terpelajar memahami elemen rasuah dan integriti menimbulkan kebimbangan terhadap kegagalan sistem pendidikan.

Wartawan BH Ahad, Nazura Ngah dan Mohd Nasaruddin Parzi mendapatkan pandangan daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff; Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd Hazim Abdul Manaf; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan rasuah (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd Sa’ad.

S: Boleh Datuk terangkan dengan lebih terperinci kajian yang dilakukan INTEGRITI,skop, metodologi dan tempoh kajian?

J: Ini adalah langkah pertama untuk kami mendapatkan hasil kajian lebih besar. Kajian secara pantas ini adalah untuk mendapatkan sedikit maklumat. Bagi fasa pertama, kami fokus tiga universiti utama dengan kajian dilakukan secara rawak di setiap universiti. Kecanggihan teknologi hari ini membolehkan soal selidik dijalankan dalam talian dengan responden hanya perlu mengakses pautan disediakan. Ia mudah diakses melalui aplikasi dalam talian dengan akses khas yang dilakukan melalui telefon pintar.

Kajian selama dua bulan bermula Februari lalu bertujuan mengenal pasti sejauh mana pemahaman responden dalam isu rasuah dan integriti berdasarkan jawapan diterima. Kali ini, INTEGRITI memfokuskan hanya kepada mahasiswa untuk mendapatkan jawapan lebih terperinci daripada kelompok berkenaan.

S: Ada pihak berpendapat kemungkinan soal selidik kajian menggunakan bahasa yang sukar difahami berhubung isu rasuah sehingga menghasilkan dapatan seperti itu?

J: Soalan yang diberi adalah straight forward, mudah difahami dan tidak berbelit. Ini bukan soalan matematik yang memerlukan kita berfikir, hanya perlu tahu apa soalannya kerana ia untuk menguji tahap kefahaman sama ada faham atau tidak, mahupun salah atau tidak perlakuan itu. Adalah perkara biasa apabila masyarakat lebih suka menyalahkan atau mempertikaikan hasil kajian, menyalahkan sampel dan metadologi tanpa mahu menerima hakikat hasil kajian itu.

S: Adakah penemuan Kajian Persepsi Mahasiswa Mengenai Rasuah mengejutkan atau memang sudah dijangka?

J: Sememangnya kita menjangkakan hasil dapatan kajian itu berdasarkan perbincangan meja bulat dengan pihak berkepentingan termasuk pakar dalam bidang masing-masing mengenai isu integriti selain kajian terdahulu termasuk kajian yang dilakukan oleh SPRM. Menerusi pelbagai perbincangan, kita sudah dengar banyak masalah wujud. Kita tidak terkejut, namun kita mahu bukti empirikal daripada kajian.

Sebagai contoh, menerusi kajian SPRM, hanya 47 responden bersetuju tuntutan elaun perjalanan palsu adalah satu kesalahan. Satu lagi contoh apabila ada wakil organisasi dalam persidangan meja bulat berpendapat daripada 100,000 pelajar di 34 politeknik, antara masalah integriti yang ketara adalah budi bahasa pelajar yang kasar ketika berinteraksi dengan pensyarah, soal kekemasan ketika dalam kelas, lewat hantar tugasan dan tidak disiplin.

S: Datuk menyatakan, kajian majoriti pelajar mempunyai tahap kefahaman tinggi mengenai rasuah. Apakah kefahaman dimaksudkan jika ramai responden menganggap perbuatan menerima hadiah sebagai balasan daripada perkhidmatan diberikan bukan kesalahan rasuah?

J: Jika dilihat penemuan daripada kajian itu, contohnya politik wang, peratusan responden yang faham bahawa ia perbuatan salah adalah tinggi, begitu juga mereka tahu bahawa menggunakan kuasa untuk mendapatkan sesuuatu faedah atau menggertak pelanggan untuk mendapatkan habuan sebagai perbuatan salah.

Daripada itu, kita boleh katakan bahawa kefahaman mereka mengenai rasuah adalah tinggi, namun pada masa sama kami cuba memahami pemikiran yang menganggap menerima hadiah sebagai balasan daripada khidmat diberikan bukan satu kesalahan rasuah atau menganggap terbabit secara langsung dalam proses pelantikan keluarga bagi mengisi jawatan kosong di jabatan sebagai perbuatan dibolehkan. Menerusi dapatan kajian ini, kita boleh membuat andaian bahawa mana-mana perbuatan yang memberi faedah dan menguntungkan mahasiswa terbabit akan dianggap satu perkara tidak salah. Ini satu kefahaman berdasarkan kepentingan diri sendiri.

S: Bagaimana hasil dapatan kajian ini mampu memberi impak kepada transformasi pendidikan dalam usaha membentuk akhlak, moral dan sahsiah diri pelajar?

J: Ini penting kerana kajian dijalankan bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak yang gagal memberi didikan sempurna kepada generasi muda, sebaliknya kita hanya mahu memahami kenapa dan bagaimana keadaan itu boleh berlaku. Kemungkinan masalah ini sudah bermula dari rumah, sejak kecil, banyak benda yang mempengaruhi cara berfikir atau amalan yang dibudayakan sejak awal kelahiran mereka. Amalan dan tingkah laku ibu bapa di rumah amat mempengaruhi pembentukan akhlak, moral dan sahsiah diri anak.

Kita perlu gali apa juga permasalahan yang menjadi punca mahasiswa gagal memahami rasuah kerana dalam konteks tadbir urus dan integriti, jika kita tidak tahu puncanya, bagaimana kita hendak didik. Kita bukan hendak menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya kita mahu menghasilkan satu strategi. Strategi yang terhasil bukan hanya bersandarkan data semata-mata, sebaliknya dapatan daripada perbincangan meja bulat, memahami isu lebih mendalam dan akhirnya kita dapat menghasilkan penyelesaian terbaik.

Masyarakat masih terbelenggu dengan sindrom penafian, kita rasa kita sudah baik, kita salahkan semua orang kecuali diri sendiri, kalau kita terus dalam keadaan ini, tidak mahu menerima hakikat bahawa kita berdepan masalah, bagaimana kita hendak selesaikan maslaah, syarat memperbaiki keadaan. Kita kena terima kita ada masalah.

S: Datuk juga berpandangan pihak berkepentingan perlu semak semula nilai yang disemai dalam kalangan mahasiswa jika hasil kajian itu dijadikan kayu ukur. Adakah ia menggambarkan kegagalan sistem pendidikan formal hari ini walhal pendidikan agama dan moral diajar  bermula peringkat pendidikan rendah?

J: Jawapan saya mudah. Babi adalah haram, umat Islam semua tahu babi haram. Benda lain boleh buat, babi tidak akan disentuh, malah ada yang jadikan ia satu gurauan, lelaki yang pergi ke Danok, Thailand (melakukan aktiviti yang tidak sihat) apabila pulang dari sana, mereka mesti mencari restoran halal. Di rumah, ibu mendidik anak mereka supaya jangan makan babi, tetapi dalam konteks yang sama kenapa ibu bapa hari ini tidak mengajar anak, bukan sekadar jangan makan babi, tetapi jangan makan makanan dari sumber haram.

Saya selalu katakan integriti tidak boleh diajar, sebaliknya diamalkan. Pendidikan bermula di rumah, semua orang kena main peranan. Walaupun dalam kelas diajar perkara baik, jika  di luar kelas, orang luar mengamalkan cara hidup tidak sihat, pelajar tetap terpengaruh elemen negative.

S: Dalam usaha kerajaan mengerakkan misi Transformasi Nasional (TN50), menjadikan Malaysia sebuah negara maju, ekosistem yang bagaimanakah perlu diwujudkan demi memastikan visi itu dapat dicapai?

J: Dalam konteks TN50, apabila hendak cakap mengenai hala tuju 30 tahun akan datang, sebelum kita melihat ke depan, kita perlu menoleh ke belakang, semua orang akan kata,hanya orang yang tahu sejarah, mampu melihat misi dan visi, sekali gus menjadi penakluk dunia. Kalau mereka tidak boleh nampak apa yang hendak dicapai, mereka tidak akan hargai, lebih teruk kalau kelompok itu adalah idealis yang hanya semata-mata bersandarkan senarai apa yang dihajati.

Namun apa yang penting, kami tidak pernah berhasrat untuk menyalahkan mana-mana universiti.

S: Adakah kajian ini menemui punca yang menyebabkan mahasiswa gagal memahami konsep sebenar rasuah?

J: Tiada. Insya-Allah ia akan ditemui dalam kajian susulan, itu yang saya rancangkan, untuk langkah pertama, kita hendak memahami , pertama, mereka faham atau tidak 19 item yang kita tanyakan, kedua persepsi. Kita rancang untuk pergi secara mendalam dalam kajian akan datang, tetapi ketika ini apa yang kami fikirkan ialah langkah seterusnya untuk menjalankan kajian lebih meluas kerana wujud sindrom penafian dalam kalangan masyarakat.