casjan3Gaya hidup masyarakat yang digarap kemas dengan budaya ketimuran dan nilai-nilai
murni suatu masa dahulu bakal lenyap seandainya rakyat Malaysia hari ini terus
alpa dan lalai. Justeru, bagi menggilap nilai-nilai sedia ada, Institut
Integriti Malaysia (INTEGRITI) giat menjalinkan kerjasama dengan Kementerian
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), sekali gus meneroka peluang dan
pendekatan baharu mempromosikan integriti.

Kerjasama yang menerima sokongan penuh Ketua Setiausaha KKMM dan Ahli Lembaga
Pengarah INTEGRITI, Dato’ Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad bermula menerusi
pertemuan ringkas antara beliau dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif
INTEGRITI, Dr. Anis Yusal Yusoff pada 5 Januari lalu di Putrajaya bagi
membincangkan rangka usaha sama yang boleh dicapai menerusi KKMM dan agensi
bawahnya; Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN),
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Institut Penyiaran dan Penerangan
Tun Abdul Razak (IPPTAR), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Jabatan
Hal Ehwal Khas (JASA) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Hasil daripada pertemuan itu, beberapa persefahaman berjaya dicapai. Antaranya
ialah dengan menjadikan RTM sebagai rakan promosi program INTEGRITI. Selain itu,
RTM turut bersedia menyiarkan vlog pemenang Pertandingan Vlog Integriti tahun
lalu dan Public Service Announcement (PSA) INTEGRITI.

Susulan daripada perbincangan itu, berlangsung satu lagi pertemuan antara
INTEGRITI dengan Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik KKMM, Puan
Roselindawati Abdul Rahman pada 11 Januari di Putrajaya untuk membincangkan
lebih lanjut bentuk kerjasama yang bakal diadakan. Sesi tersebut turut disertai
oleh wakil-wakil jabatan dan agensi bawah KKMM. Rentetan daripada kerjasama itu,
RTM telah membantu mempromosikan beberapa program anjuran INTEGRITI menerusi
siaran rerayap dan siri temu bual pendek. Di samping itu, INTEGRITI turut
dipelawa menyertai sesi bual bicara Selamat Pagi Malaysia.

Bagi meningkatkan lagi promosi integriti, KKMM menerusi IPPTAR dan JASA juga
bakal menerapkan mesej integriti melalui penyampaipenyampai radio dan
televisyen. Malahan, INTEGRITI dijangka akan turun padang dalam Jelajah Program
MINDA 2016 anjuran KKMM tidak lama lagi.