belummac2016Sambil menyelam minum air. Itulah yang dilakukan oleh 65 orang warga kerja Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) ketika menyertai program retreat INTEGRITI di Pulau Banding, Royal Belum, Perak pada 20 hingga 23 Mac yang lalu.

Di sini, para peserta bukan sekadar berpeluang untuk lebih mengenali antara satu sama lain dan merapatkan hubungan serta kemesraan sedia ada, tetapi juga dapat berkongsi nilai-nilai bersama sambil menikmati kesegaran serta keindahan alam semula jadi. Lebih menarik, warga INTEGRITI juga berkesempatan untuk berkunjung dan bermesra dengan lebih 100 orang penduduk Orang Asli daripada Suku Jahai di Kampung Aman Damai.

belummac20162Sepanjang berada di sana, beberapa aktiviti telah diadakan bersama penduduk. Antaranya ialah pemasangan lampu solar, penanaman biji benih dan kelas mewarna bersama anak-anak kecil. Selain memberi kemudahan kepada penduduk, lampu solar tersebut membolehkan anak-anak Orang Asli di sana membaca dan menelaah buku pelajaran pada sebelah malam. Penanaman biji benih juga dapat membantu memperbanyakkan sumber makanan penduduk.

Di samping itu, kesempatan yang ada turut dimanfaatkan dengan melaksanakan program Legasi Integriti Khazanah Alam (LeIKA) di Taman Negeri Royal Belum. Sebanyak tiga papan tanda memaparkan mesej ‘Nasib alam bergantung kepada perilaku kita. Amalkan integriti’ telah diletakkan di lokasi-lokasi strategik iaitu Pos Penguatkuasa Perbadanan Taman Negeri Perak, Santuari Ikan Sg. Ruok dan Kem Sg. Kenarong.

Pengalaman di Royal Belum ini nyata memberikan makna yang begitu mendalam. Semoga dengan pengalaman tersebut, semua warga kerja INTEGRITI akan lebih strategik dan kritikal dalam melaksanakan tugas.