Pada 10 Mac yang lepas, pihak INTEGRITI telah menyertai program ‘Minda’ anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Tebingan Sungai Kuching pada pagi tersebut.
Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata program Minda iaitu akronim kepada ‘Malaysia Inklusif Negara Digital’ dirancang turut diadakan di seluruh negara dengan siri pertama program selama tiga hari bermula di Sarawak.
Beliau turut berkata program itu juga antara lain bertujuan memperkasa masyarakat untuk menjadi pengguna yang bijak dan berhemah dalam penggunaan teknologi komunikasi di samping merangsang pertumbuhan ekonomi digital di peringkat akar umbi.
Selain itu, ia juga bertujuan merapatkan jurang saluran antara kerajaan dengan rakyat di samping membina masyarakat bermaklumat melalui penyampaian informasi secara cepat, tepat, dan cermat.
Menurutnya selain mendedahkan kepada orang ramai mengenai infrastruktur, capaian dan teknologi yang dibangunkan kerajaan, program itu juga bertujuan menyedarkan mereka mengenai kepentingan penggunaannya ke arah kebaikan, khususnya dalam mengukuhkan perpaduan dan bukan disalah guna untuk memecah-belah masyarakat.
Sumber: http://www.kkmm.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=10116:2016-03-10-08-48-43&catid=118&Itemid=254&lang=ms