[:my]Pegangan  agama yang kuat dapat membentuk peribadi yang luhur. Amalan ini penting bagi melahirkan persekitaran berintegriti tinggi, dan pada masa yang sama memupuk perpaduan nasional yang menjadi harapan negara.

Bertolak daripada itu, Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (PERPADUAN) menganjurkan Seminar Kebangsaan bertemakan “Agama Sebagai Medium Memupuk Integriti dan Perpaduan Nasional”.

Seminar sehari ini berlangsung di Menara INTEGRITI, Kuala Lumpur pada 26hb Julai yang lalu.

Ia menampilkan YBhg Prof. Dato’ Dr Siddiq Fadzil, Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan, yang menyampaikan syarahan utama manakala Majlis Penutup disempurnakan oleh YB Dr. Md Farid Md Rafik, Timbalan Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial. Prof Madya Dr Sarjit Singh, Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia bertindak sebagai moderator sesi syarahan.

INTEGRITI dan PERPADUAN melihat seminar ini  sebagai satu landasan penting bagi membolehkan rakyat yang berlainan agama boleh berganding dan bersatu tenaga menyemai nilai-nilai murni mengikut perspektif agama masing-masing. Kebebasan dalam mengamalkan agama sendiri mungkin boleh menjadi satu kelebihan dari sudut keterbukaan orang ramai dalam memupuk nilai integriti dan perpaduan.

Ia juga secara tidak langsung dapat memberi ruang dan peluang untuk masyarakat berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang peranan institusi pelbagai agama dalam memperkukuhkan integriti, perpaduan dan keharmonian.

Mengulas mengenai penganjuran seminar hari ini, YBrs Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI berkata, “apabila penganut pelbagai agama mengamalkan nilai-nilai murni yang terkandung dalam ajaran agama masing-masing, sudah pasti ia dapat membentuk individu yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.”

“Ini secara tidak langsung akan melahirkan masyarakat berintegriti tinggi,” kata beliau dalam ucapannya.

Seminar hari ini disertai oleh seramai 250 orang dari pelbagai latar belakang agama dan kaum.

Penganjuran seminar ini merupakan aktiviti susulan selepas pelancaran buku Nilai Integriti Pelbagai Agama: Pengikat Persefahaman yang telah dilancarkan pada 16 Januari 2018 yang lalu.

Dalam pada itu, YB Dr Md Farid berkata, Kerajaan akan menubuhkan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat (MPKR) bagi memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional.

Katanya, langkah itu diambil bagi mempromosikan Malaysia di peringkat global sebagai model negara moderat yang berjaya menjaga keharmonian antara kaum dan agama.

“Majlis ini berfungsi sebagai platform untuk percambahan fikiran dan rekonsilasi antara kaum dan agama,” kata beliau ketika berucap menutup Seminar Kebangsaan Agama Sebagai Medium Memupuk Integriti dan Perpaduan Nasional.

Menurut beliau, kertas cadangan penubuhan majlis itu telah diketengahkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.

Dalam ucapannya beliau berkata, semangat perpaduan antara kaum di negara ini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang datang dari pelbagai sudut.

“Justeru, semua pihak yang terlibat dan bertanggungjawab menjadikan rakyat Malaysia celik agama, perlu tampil ke hadapan secara ikhlas untuk membantu dan memainkan peranan bersama dengan INTEGRITI dan JPNIN dalam usaha memperkukuhkan persefahaman, perpaduan dan keharmonian berlandaskan nilai-nilai sejagat pelbagai agama,” katanya.

Dr Md Farid memberitahu, kerajaan akan membangunkan dasar-dasar dan program yang membawa Malaysia ke arah sebuah negara inklusif yang bersatu padu dan menjaga keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Kerajaan yakin bahawa ini akan membolehkan Malaysia menjadi model senantero dunia,” katanya.

Beliau berkata, sewajarnya komposisi masyarakat yang berbilang kaum dan agama berbeza perlu dilihat sebagai satu peluang besar dan dorongan untuk mewujudkan perpaduan.

“Malah, kita perlu sedar kewujudan masyarakat berbilang kaum dan agama bukanlah satu fenomena yang baharu dan tidak mungkin boleh dipisahkan dalam konteks Malaysia.

“Apa yang penting adalah komitmen dan kesungguhan yang berterusan untuk mengetengahkan nilai-nilai murni sejagat sifatnya daripada pelbagai agama dan budaya untuk memantapkan perpaduan dan saling memahami antara penganut pelbagai agama,” kata beliau.

Dr Md Farid turut menerima resolusi yang diputuskan di akhir seminar kebangsaan ini.

 [:]