
Sesi penerangan berkaitan instrumen integriti kepada Mazalan (kanan) di Shah Alam, hari ini. – Foto Sinar Harian
SHAH ALAM – Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) mengadakan program turun padang iaitu Roadshow Integriti 2017 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.
Bermula dengan negeri Selangor, program siri jelajah 14 negeri di seluruh negara ini merupakan satu platform penting untuk mengumpulkan maklumat di peringkat negeri untuk perancangan Hala Tuju Fasa Ketiga Pelan Integriti Nasional (PIN).
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Selangor, Datuk Mazalan Md Noor berkata, data yang di kumpul akan dimuat naik dalam satu sistem yang dibangunkan oleh Integriti yang dinamakan ‘Dasboard Integriti’, satu paparan dalam bentuk pembangunan analisa yang informatif dan interaktif.
“Segala maklumat berkaitan isu integriti di peringkat negeri dapat dikongsi bersama bagi tujuan rujukan dan tindakan agensi pelaksana.
“Dashboard ini juga akan memberikan kemudahan secara mendalam kepada agensi pelaksana bagi tujuan mengenal pasti sebarang ketidakberkesanan atau boleh menjangkakan perubahan trend sesuatu program.
“Integriti melihat inisiatif ini sebagai salah satu mekanisme untuk membantu negeri-negeri menjayakan agenda pembudayaan, penghayatan dan pengukuhan integriti,” katanya selepas merasmikan Roadshow Integriti di sini, hari ini.
Beliau berkata, kaedah ini akan memperlihatkan dengan lebih jelas apakah isu-isu yang ada atau wujud dalam negeri masing-masing terutama yang melibatkan integriti.
Malah katanya, dengan maklumat yang ada pihak berkaitan di negeri dapat mencari penyelesaian terbaik untuk meningkatkan tahap integriti di negeri masing-masing.
Sumber: Sinar Harian