Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) hari ini mengadakan Siri Dialog TN50: Melangkah ke Hadapan Meneruskan Agenda Integriti Negara di Menara INTEGRITI.
Siri dialog ini diadakan untuk mendokong usaha kerajaan yang sedang dalam proses merangka pelan agenda TN50. Program hari ini menghimpunkan aspirasi masyarakat Malaysia tentang masa depan negara dari perspektif budaya berintegriti tinggi.
Siri Dialog TN50 ini terdiri daripada tiga segmen, dengan yang pertama adalah pembentangan oleh YBhg Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI.
Dalam pembentangannya, YBhg Datuk Dr Anis berkata INTEGRITI akan mengemukakan saranan dan syor bagi memperkukuhkan budaya berintegriti untuk disertakan dalam TN50.
Beliau juga menggariskan cabaran-cabaran yang perlu diberi pertimbangan dalam merangka TN50 dari perspektif integriti, antaranya kebangkitan globalisasi timur, perkembangan geopolitik semasa, pembiayaan politik, perubahan demografi di Malaysa, ledakan teknologi baharu, kehendak dan citarasa generasi muda serta keberkesanan usaha dalam membanteras rasuah.
Menurut beliau, konsep “cultural change” merupakan satu proses transformasi jangka panjang. Ia memerlukan penglibatan setiap lapisan masyarakat terutamanya institusi keluarga dalam mendidik anak seawal usia, bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Segmen kedua melibatkan dialog bersama YB Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. YB Datuk Paul Low turut mengumumkan bahawa Kabinet baru-baru ini telah memutuskan untuk menubuhkan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara, yang merupakan satu langkah menaik taraf Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU) yang sedia ada.
Beliau menyifatkan penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara akan membantu usaha-usaha membina dan yang lebih menyeluruh bagi mencapai aspirasi berkaitan budaya berintegriti tinggi menjelang tahun 2050. “Ia satu perkembangan yang sangat penting dan positif dalam membantu INTEGRITI dan agensi-agensi pelaksana untuk menjayakan agenda integriti menjelang 2050,” kata beliau.
YB Datuk Paul Low juga berkata, “integriti perlu menjadi elemen penting dalam pembangunan masyarakat dalam sesebuah negara.”
Dalam segmen ketiga, para peserta telah diberi peluang untuk menggariskan isu dan cadangan penyelesaian dengan mengambil kira trend semasa dan senario yang akan datang. Ia meliputi aspek kehidupan, pekerjaan, pembelajaran, rekreasi, tadbir urus dan nilai yang seimbang dan memberi impak kepada negara.
Pada Sesi Dialog TN50 hari ini, INTEGRITI telah menerima lebih 30 cadangan yang akan dirumuskan sebelum dikemukakan kepada Sekretariat TN50 dalam masa terdekat.
Hampir 100 peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum, usia dan latar belakang termasuk wakil-wakil pertubuhan masyarakat sivil, seorang senator dari Pakatan Harapan dan seorang penuntut praktikal (intern) dari Pejabat YB Datuk Paul Low menyertai Sesi Dialog TN50.