Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi memperkenalkan pendekatan Pembangunan Integriti Bersama Komuniti (PIBK) di peringkat kerajaan-kerajaan tempatan untuk memperkukuh budaya berintegriti demi menjamin perkhidmatan yang berkualiti kepada orang ramai.
PIBK membabitkan prinsip kolaborasi atau penglibatan komuniti dalam mencari penyelesaian terhadap sesuatu isu atau masalah. Ia pendekatan proaktif membabitkan peranan rakyat bagi peningkatan kualiti perkhidmatan dan memperbaiki sistem penyampaian berdasaran prinsip pembudayaan integriti.
INTEGRITI mencadangkan pelaksanaan PIBK susulan kejayaan projek rintis di tiga buah kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan Majlis Daerah Hulu Terengganu pada tahun lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, YBhg. Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff berkata, perbincangan telah diadakan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YBhg Dato’ Sri Mohammad Mentek bagi melaksanakan pendekatan PIBK di PBT di seluruh negara.
Hasil projek rintis di tiga buah PBT terbabit, kata beliau, tahap penyediaan perkhidmatan kutipan sampah, pembersihan longkang dan penyelenggaraan parit menunjukkan kadar penyelesaian masalah dengan ketara dan kualiti perkhidmatan telah meningkat sebanyak dua kali ganda.
“Setakat ini pendekatan PIBK ternyata menyumbang kepada peningkatan tahap perkhidmatan sebagaimana diharapkan oleh orang ramai, khususnya pelanggan-pelanggan PBT-PBT.”
Kata beliau, pendekatan PIBK tidak hanya terhad kepada perkhidmatan PBT sahaja, sebaliknya boleh digunakan membabitkan perkhidmatan-perkhidmatan di sektor lain.
“Kami melihat pendekatan PIBK ini boleh diamalkan oleh PBT-PBT di seluruh negara, bukan sahaja membabitkan perkhidmatan kutipan sampah, pembersihan longkang dan penyelenggaraan parit, malah perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti perolehan, projek perumahan dan sebagainya,” kata beliau kepada pemberita pada program INTEGRITI’s Breakfast Talk anjuran bersama INTEGRITI dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Klang semalam.
“Kami di INTEGRITI melihat pendekatan PIBK ini sebagai program ‘Rukun Tetangga waktu siang’ di mana masyarakat atau penduduk setempat bagi bertindak sebagai mata dan telinga kepada PBT, malah kepada pihak kontraktor sendiri dalam memastikan setiap perkhidmatan disediakan dengan penuh berintegriti, mengelak elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kedudukan,” kata beliau.
Program INTEGRITI’s Breakfast Talk anjuran bersama INTEGRITI dan MPK ini memfokus topik Pengurusan Tadbir Urus PBT: Perspektif Integriti. Ia diadakan dengan tujuan untuk berkongsi pengalaman dan pandangan mengenai isu-isu berkaitan usaha memastikan pengurusan tadbir urus PBT dari sudut integriti, dan mengupas pentadbiran PBT secara holisik.
Pembicara Utama program itu adalah YBhg. Datuk Dr. Anis Yusal sendiri manakala dua pembincang pula terdiri daripada Pakar Motivasi YBhg Dato’ Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan Hakim Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Yang Arif Prof Adjung Dato’ Dr Mohd Na’im Mokhtar. Ketua Bahagian Integriti dan Pengurusan Risiko Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Normalis Abd Samad bertindak sebagai moderator.
Program INTEGRITI’s Breakfast Talk merupakan salah satu daripada siri program yang dianjurkan oleh INTEGRITI sepanjang tahun. Ia memfokus kepada pelbagai isu integriti dalam negara.
YBhg Datuk Dr Anis Yusal berkata pendekatan-pendekatan seperti program INTEGRITI’s Breakfast Talk merupakan peluang kepada INTEGRITI dan agensi-agensi terbabit termasuk MPK memahami dan menghalusi isu-isu yang berkaitan dengan integriti secara mendalam.
Katanya, INTEGRITI akan mengambil langkah-langkah susulan seperti sesi perbincangan lanjut dan melakukan kajian empirikal bagi mengemukakan cadangan-cadangan dan syor menerusi kertas dasar kepada Kerajaan.
“Apa yang kita bincangkan dalam sesi seperti ini merupakan satu peluang yang baik bagi mencari penyelesaian secara ilmiah dan empirikal. Setiap agensi mempunyai ciri-ciri masalah yang berbeza. Jadi kita perlu menjurus kepada setiap isu dengan fakta dan kajian,” kata beliau.
“INTEGRITI telah menjalin kerjasama dengan MPK ke arah pemupukan budaya berintegriti, termasuklah menyediakan instrumen-instrumen ini bagi tujuan tersebut,” kata beliau.
INTEGRITI mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada MPK kerana memberi kerjasama padu bagi menjayakan program kali ini. Kerjasama ini membuktikan bahawa usaha memupuk nilai-nilai integriti memerlukan kerjasama pintar dua hala dan sokongan semua pihak.
Sementara itu, Yang Dipertua MPK, YBhg. Dato’ Haji Mohamad Yasid Bidin menyifatkan program INTEGRITI’s Breakfast Talk sebagai satu langkah penting dalam pendekatan menyeluruh pihkanya meningkatkan budaya berintegriti di dalam kalangan kakitangan MPK dan juga pihak-pihak berkepentingan.
“MPK juga telah menjalin kerjasama dengan INTEGRITI untuk menggunakan Instrumen Penilaian Integriti (IAT) bagi memperkukuhkan nilai-nilai integriti. Kami akan memperluaskan usaha ke arah pemupukan budaya berintegriti dengan kerjasama INTEGRITI,” kata beliau.