JOHOR BAHRU, 14 November 2017: Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) menyarankan Unit Integriti Negeri memperluaskan program meningkatkan usaha pemupukan budaya berintegriti tinggi di peringkat daerah dengan membentuk gandingan melibatkan pegawai-pegawai daerah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, YBhg Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata, pegawai-pegawai daerah boleh memainkan peranan penting dalam memupuk nilai-nilai positif bagi memupuk budaya berintegriti dengan melaksanakan program-program yang khusus di kawasan masing-masing.
Kata beliau, susulan pendekatan INTEGRITI memperluaskan program dan aktiviti bagi mencapai matlamat Pelan Integriti Nasional (PIN) di peringkat nasional dan negeri, PIN perlu dilaksanakan dengan menyeluruh di peringkat daerah.
“Setiap daerah mempunyai sifat dan ciri tersendiri. Kita tidak boleh menggunakan kaedah yang sama bagi setiap kawasan.
“Memandangkan pegawai-pegawai daerah tahu tentang kawasan masing-masing, maka INTEGRITI berpandangan pegawai-pegawai daerah boleh memainkan peranan khusus bagi kawasan mereka,” kata beliau kepada pemberita pada program Roadshow INTEGRITI 2017 peringkat Negeri Johor di sini hari ini.
Kata beliau, INTEGRITI memerlukan banyak ‘integrity champion’ dan salah satu pihak yang boleh memainkan peranan ini adalah pegawai-pegawai daerah dan Unit Integriti peringkat negeri.
INTEGRITI mengambil pendekatan turun padang dengan menganjurkan program Roadshow INTEGRITI 2017, yang melibatkan kesemua negeri sejak Ogos lalu, bagi membantu kerajaan-kerajaan negeri mengadakan program pemupukan integriti yang berimpak tinggi.
Lebih 300 wakil agensi-agensi kerajaan, GLC dan sektor swasta menyertai bengkel Roadshow INTEGRITI peringkat Negeri Johor.
Negeri Johor merupakan persinggahan keempat sejak program Roadshow INTEGRITI dilancarkan pada bulan Ogos lalu. Roadshow INTEGRITI telah diadakan di Selangor, Sarawak dan Pulau Pinang. Persinggahan seterusnya adalah di Pahang pada bulan Disember.
YBhg Datuk Anis berkata, dalam usaha untuk membudayakan agenda integriti, INTEGRITI mengadakan Roadshow INTEGRITI untuk berkongsi program-program integriti atau kaedah-kaedah baharu bagi tujuan pemupukan budaya berintegriti tinggi.
Kata beliau, menerusi Roadshow INTEGRITI segala maklumat berkaitan isu integriti di peringkat negeri akan dimuat naik dalam sistem yang dinamakan sebagai “Dashboard Integriti”, yang merupakan satu paparan dalam bentuk pembangunan analisa yang berinformatif dan interaktif.
Menerusi Roadshow INTEGRITI, INTEGRITI memperkenalkan produk dan instrumen yang telah dibangunkan oleh INTEGRITI iaitu Instrumen Penilaian Integriti, Profil Integriti Malaysia, Pelan Integriti Organisasi, Pembangunan Integriti Bersama Komuniti dan Modul Integriti Pra Sekolah (MIPs).
Roadshow INTEGRITI merupakan salah satu mekanisme INTEGRITI untuk membantu kerajaan-kerajaan negeri menjayakan agenda pembudayaan, penghayatan dan pengukuhan integriti selaras dengan PIN, di mana ia dapat memberi gambaran jelas dalam perencanaan program atau aktiviti integriti agar lebih tersusun, terarah dan sistematik serta meninggalkan kesan dan impak yang menyeluruh ke atas kumpulan sasaran.
Roadshow INTEGRITI merupakan pendekatan “komunikasi dua hala” kerana bukan sahaja mengenal pasti isu-isu integriti dan mencari jalan penyelesaian di setiap negeri, yang berbeza dari segi sifat dan keunikan tersendiri, malah satu platform penting untuk memperkukuhkan usaha mencapai sasaran PIN.
YBhg Datuk Anis yakin Roadshow INTEGRITI 2017 akan memperlihatkan dengan lebih jelas tentang isu-isu yang ada atau wujud di negeri masing-masing yang melibatkan integriti.
Malah dengan maklumat yang ada, pihak-pihak berkaitan dapat mencari penyelesaian terbaik untuk meningkatkan tahap integriti di negeri masing-masing.
“INTEGRITI menghargai sokongan yang diperlihatkan oleh kerajaan-kerajaan negeri dalam memperkukuh budaya berintegriti tinggi. Penganjuran bersama Roadshow INTEGRITI 2017 adalah satu contoh. Justeru kami mengalu-alukan pandangan dan cadangan bernas yang berterusan,” kata YBhg Datuk Anis.
Program Roadshow INTEGRITI peringkat Negeri Johor diadakan dengan kerjasama Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, yang turut mengadakan Konvensyen Integriti Negeri Johor. Ini merupakan kali pertama program Roadshow INTEGRITI diadakan sempena sambutan Bulan Integriti dan bersama penganjuran Konvensyen Integriti Negeri Johor.
Majlis penutup Konvensyen Integriti Negeri Johor dan Roadshow INTEGRITI Negeri Johor disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Johor, YB Dato’ Azmi Rohani.
Untuk maklumat lanjut, boleh menghubungi Dr. G. Manimaran, Pengarah Program Komunikasi, Pusat Komunikasi, Program Bitara dan Antarabangsa di talian 012-3081355 atau 03-62092050 atau melalui e-mel di [email protected].
KETERANGAN GAMBAR
Para peserta bengkel Roadshow INTEGRITI 2017 peringkat Negeri Johor bergambar bersama pengurusan Institut Integriti Malaysia dan Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di akhir bengkel yang diadakan di Johor Bahru hari ini.