Laporan media baru-baru ini memetik Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata negara kehilangan RM2.5 bilion dalam bentuk cukai dan duti sepanjang tiga tahun yang lalu, sebahagian besar kerana pemalsuan dokumen oleh ejen-ejen penghantaran. Malah menurut beliau, tahun ini sahaja lebih RM1 bilion tidak dapat dikutip dengan barangan bernilai RM731 juta diseludup masuk ke Malaysia. Pada pandangan Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI), kehilangan berbilion ringgit pendapatan negara perlu dipandang berat oleh semua pihak.
Pada masa yang sama, INTEGRITI menyambut baik tindakan tegas Jabatan Kastam Diraja Malaysia menggantung lesen 20 ejen penghantaran di seluruh negara pada bulan depan. Menurut Jabatan Kastam Diraja Malaysia, penggantungan itu dilaksanakan berdasarkan Sistem Mata Demerit Kastam yang diperkenalkan pada April tahun ini untuk mencegah penyeludupan menerusi pelabuhan.
Pada hemat INTEGRITI, Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah mula mengambil langkah konkrit bagi memupuk budaya berintegriti dalam kalangan anggota jabatannya dan meningkatkan tadbir urus baik. Di bawah kerjasama dengan INTEGRITI, Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah mula mengambil langkah mengguna pakai ujian psikometrik Profil Integriti Malaysia (MIP), yang melibatkan proses pengambilan pegawai-pegawai jabatan itu. Langkah itu akan diperluaskan membabitkan anggota pelaksana selepas ini. MIP satu instrumen yang digunakan untuk menilai tahap integriti seseorang individu. Ia menilai tahap integriti individu dalam dua aspek utama iaitu Kualiti Peribadi dan Pendirian. Malah Jabatan Kastam Diraja Malaysia merupakan antara agensi yang telah mengikuti latihan penggunaan Modul Integriti Agensi Penguatkuasaan yang diterbitkan oleh INTEGRITI pada tahun lalu.
Tindakan holistik melibatkan semua peringkat adalah penting bagi melihat keberkesanan usaha mengekang aktiviti penyeludupan dan mengatasi isu ketirisan pendapatan negara. Jabatan Kastam Diraja Malaysia sahaja tidak boleh menangani isu penyeludupan dan ketirisan pendapatan cukai dan duti. Sementara langkah pemupukan budaya berintegriti tinggi oleh pengurusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia wajar disambut baik, syarikat-syarikat ejen penghantaran juga mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam soal ini. Mereka tidak boleh lepas tangan dengan hanya mementingkan keuntungan peribadi dan syarikat.
Kita tidak boleh menyerahkan usaha penghayatan budaya berintegriti kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia semata mata, sebaliknya semua pihak berkepentingan dalam urusan kastam negara, khususnya ejen-ejen penghantaran ada peranan masing-masing.
INTEGRITI akan terus menghulurkan sokongan padu kepada pengurusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan semua pihak bagi mewujudkan persekitaran berintegriti tinggi, yang akan memanfaatkan setiap rakyat negara ini dalam jangka panjang.
DATUK DR ANIS YUSAL YUSOFF
PRESIDEN DAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF
INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA (INTEGRITI)
31 DISEMBER 2017