KUALA LUMPUR, 23 November 2017: Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) menyambut baik langkah Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) agar pegawai dan kakitangannya mengisytihar kos percutian luar negara mereka dan mahu kos itu ditanggung sendiri oleh pegawai dan kakitangan, bukannya oleh mana-mana pihak ketiga, seperti yang dilaporkan akhbar pada 21 November 2017.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PRASARANA, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz dipetik berkata langkah itu merupakan salah satu initiatif bagi membanteras jenayah rasuah dan salah guna kuasa. PRASARANA juga melancarkan Bulan Integriti 2017 peringkat organisasi itu. Selaras aspirasi memperkasa integriti dalam urusan dan operasi, kesemua vendor dan pembekal PRASARANA disyaratkan perlu menghadiri taklimat integriti sekurang-kurangnya sekali.
Sehubungan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff berkata, komitmen mendalam yang diperlihatkan oleh PRASARANA itu merupakan perkembangan positif yang harus dipuji dan dihargai.
Malah perkembangan ini menunjukkan, PRASARANA, selaku syarikat peneraju pengurusan pengangkutan awam berbilion ringgit, di kedua-dua di Malaysia dan di luar negara, menunjukkan contoh yang baik dalam mewujudkan mekanisme kawalan dalaman ketat dan menyeluruh bagi menghindari jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Datuk Dr. Anis Yusal berkata, INTEGRITI percaya langkah PRASARANA ini merupakan satu pendekatan konstruktif yang akan menyumbang kepada syarikat itu dan negara pada keseluruhannya, menyediakan sistem perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.
Oleh itu, beliau berharap, pendekatan yang diambil PRASARANA akan diambil contoh oleh agensi-agensi yang lain.
“Saya bagi pihak INTEGRITI gembira kerana banyak syarikat dan pihak dalam sektor swasta sudah mula melaksanakan mekanisme kawalan dalaman. Kami yakin usaha seperti ini apabila dipertingkatkan akan membantu melahirkan sebuah masyarakat dan negara yang berintegriti tinggi sebagaimana dihasratkan,” kata Datuk Dr. Anis Yusal.
Datuk Dr. Anis Yusal juga berkata, beliau percaya cadangan penubuhan jawatankuasa bertindak yang disertai oleh pelbagai jabatan dalam PRASARANA akan dapat membantu meningkatkan ketelusan pelaporan pengisytiharan dan menunjukkan betapa pentingnya dasar pengawasan dalam mematuhi segala perundangan, peraturan, prosedur dan dasar berkaitan jenayah rasuah dan salah guna kuasa.
INTEGRITI yang bertindak menyelaras, memantau dan menilai pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN) telah membangunkan instrumen-instrumen seperti Pelan Integriti Organisasi, Instrumen Penilaian Integriti (IAT) dan Profil Integriti Malaysia (MIP) yang boleh digunakan untuk membantu organisasi merangka, melaksana dan memantau pelan integriti masing-masing.
Untuk maklumat lanjut, boleh menghubungi Dr. G. Manimaran, Pengarah Program Komunikasi, Pusat Komunikasi, Program Bitara dan Antarabangsa di talian 012-3081355 atau 03-62092050 atau melalui e-mel di [email protected].