KUALA LUMPUR, 30 November 2017: Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) mengucapkan takziah atas kematian Tan Sri Dr Surin Pitsuwan, bekas Setiausaha Agung ASEAN dan Menteri Luar Thailand, hari ini.

Bagi INTEGRITI, kematian Tan Sri Dr Surin merupakan satu kehilangan besar kerana Allahyarham merupakan seorang tokoh yang telah menunjukkan komitmen yang mendalam dalam usaha-usaha membudayakan integriti.

INTEGRITI merasakan kematian Allahyarham Tan Sri Dr Surin bukan sahaja satu kerugian kepada rakyat Thailand, malah kepada seluruh dunia khususnya kepada rantau ASEAN.

Kami menerima berita yang mengejutkan ini dengan penuh sedih. Tan Sri Dr Surin adalah seorang negarawan terbilang, seorang yang berilmu dan banyak mencurahkan bakti bukan sahaja kepada Thailand malah kepada dunia.

Beliau telah banyak memberi panduan dan kerjasama padu kepada INTEGRITI. INTEGRITI amat merasai kehilangan beliau yang telah menyampaikan ucaptama pada Dialog Integriti ASEAN 2017 yang diadakan Menara INTEGRITI, Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2017. Beliau juga telah memenuhi undangan INTEGRITI untuk menyampaikan ucaptama pada AID 2008 iaitu AID pertama dianjurkan oleh INTEGRITI.

Semoga seluruh keluarga arwah diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan dan musibah ini. INTEGRITI juga mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan akan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

DATUK DR ANIS YUSAL YUSOFF
PRESIDEN DAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF
INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA