[:my]KUALA LUMPUR, 25 Jun 2018: Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-14 di Menara INTEGRITI di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, Pengerusi INTEGRITI Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, INTEGRITI menyambut baik kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam melaksanakan dasar bagi memperkukuhkan tadbir urus baik dan memerangi rasuah secara menyeluruh.
“Susulan daripada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada bulan Mei lalu, INTEGRITI menyambut baik kepimpinan YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia dalam melaksanakan dasar bagi memperkukuhkan tadbir urus baik dan memerangi rasuah secara menyeluruh,” kata beliau.
Tan Sri Dr Ali juga berkata, sebagaimana yang telah direkodkan dalam Laporan Tahunan INTEGRITI 2017, INTEGRITI telah melaksanakan 180 program dalam bentuk advokasi, penerbitan, penyelidikan dan sebagainya.
Ini menunjukkan bahawa INTEGRITI mempunyai peranan dan tanggungjawab khusus sebagaimana digariskan dalam Pelan Integriti Nasional (PIN), tambah beliau.
Antara pembudayaan integriti yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu adalah Siri Syarahan Perdana Integriti Tun Abdullah Ahmad Badawi, Konvensyen Integriti Nasional dengan kerjasama PETRONAS, program Roadshow INTEGRITI dan penyediaan instrumen-instrumen integriti yang baharu.
Tambah membanggakan lagi, kata Tan Sri Dr Ali, instrumen-instrumen seperti Profil Integriti Malaysia (MIP), Instrumen Penilaian Integriti (IAT) dan Pelan Integriti Organisasi (PIO) menerima sambutan yang memberangsangkan daripada pelbagai pihak.
“Ia bukan sahaja menunjukkan bahawa kesedaran dan kesediaan dalam memperkukuhkan amalan berintegriti dalam organisasi masing-masing semakin mantap, malah ia menunjukkan pembudayaan integriti menjadi teras utama kepada organisasi tersebut.
“Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua Ahli INTEGRITI dan Ahli Lembaga Pengarah yang sentiasa memberikan sokongan padu dalam menjayakan agenda pembudayaan integriti,” kata beliau.
Beliau yang juga Ketua Setiausaha Negara mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli yang sudi meluangkan masa dan hadir ke mesyuarat kali ini.
Dalam ucapannya beliau turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah INTEGRITI (ex-officio) yang telah tamat perkhidmatan iaitu Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkuat kuasa 14 Mei 2018, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkuat kuasa 31 Mei 2018 dan Tan Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad berkuat kuasa 31 Mei 2018.
Beliau turut memaklumkan pelantikan Dato’ Sri Mohd Shukri Abdull, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, sebagai Ahli Lembaga Pengarah INTEGRITI (ex-officio) berkuat kuasa 18 Mei 2018.
Selain itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin turut membentangkan Laporan Pencapaian Organisasi bagi tempoh 2017-2018.
Sempena Mesyuarat Agung Tahunan hari ini, Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Ahli-ahli INTEGRITI yang hadir turut menurunkan tandatangan pada kanvas Kempen Do It Right – INTEGRITI DI HATI yang telah dilancarkan sempena sambutan ulang tahun ke-14 pelancaran Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penubuhan INTEGRITI pada 19 April 2018.
INTEGRITI turut mengadakan majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri, yang turut disertai oleh Ahli Lembaga Pengarah dan Ahli-ahli INTEGRITI.
[:]