[:my]KOTA BAHRU, 5 Februari 2018: Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) meneruskan pendekatan turun padang ke peringkat negeri bagi membantu kerajaan-kerajaan negeri mengadakan program-program pemupukan integriti yang berimpak tinggi.
Pada hari ini, program Roadshow INTEGRITI diadakan di Negeri Kelantan – persinggahan yang keenam sejak program Roadshow INTEGRITI dilancarkan pada bulan Ogos 2017. Setakat ini, Roadshow INTEGRITI telah pun diadakan di Selangor, Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Perlis.
Di Kelantan, program Roadshow INTEGRITI berlangsung di Dewan Bunga Teratai, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Bahru. Program Roadshow INTEGRITI peringkat Negeri Kelantan diadakan dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.
Majlis Perasmian disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri YB Dato’ Haji Mohd Faudzi Haji Che Mamat. Beliau diwakili oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), YB Dato’ Adnan Hussin.
Roadshow INTEGRITI merupakan salah satu mekanisme INTEGRITI untuk membantu kerajaan-kerajaan negeri menjayakan agenda pembudayaan, penghayatan dan pengukuhan integriti selaras dengan Pelan Integriti Nasional (PIN), di mana ia dapat memberi gambaran yang jelas dalam perencanaan program atau aktiviti integriti agar lebih tersusun, terarah dan sistematik serta meninggalkan kesan dan impak yang menyeluruh ke atas kumpulan sasaran.
Pada sidang media di akhir program hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, YBhg Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata, dalam usaha membudayakan agenda integriti, INTEGRITI mengadakan Roadshow INTEGRITI bagi berkongsi maklumat mengenai program-program integriti dan kaedah-kaedah baharu bagi tujuan pemupukan budaya berintegriti tinggi.
YBhg Datuk Dr Anis Yusal berkata, Roadshow INTEGRITI akan membolehkan isu-isu setempat di peringkat negeri dihalusi dengan lebih mendalam dan diketengahkan untuk mencari penyelesaian. Malah kata beliau, dengan maklumat yang ada, pihak-pihak berkaitan dapat mencari penyelesaian terbaik untuk meningkatkan tahap integriti di negeri masing-masing.
Malah menurut beliau, Roadshow INTEGRITI merupakan pendekatan “komunikasi dua hala” kerana bukan sahaja mengenal pasti isu-isu integriti dan mencari jalan penyelesaian di setiap negeri, yang berbeza dari segi sifat dan keunikan tersendiri, malah satu platform penting untuk memperkukuhkan usaha mencapai sasaran PIN.
Menerusi pendekatan program Roadshow INTEGRITI yang bertujuan membawa agenda budaya berintegriti ke peringkat negeri dan seterusnya daerah-daerah dan jajahan-jajahan, kata beliau, INTEGRITI akan membantu kerajaan-kerajaan negeri termasuk Kerajaan Negeri Kelantan dalam merangka Pelan Integriti Peringkat Negeri masing-masing.
Selain itu kata beliau, INTEGRITI juga akan membantu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan menggubal Pelan Integriti Organisasi Pejabat SUK.
“INTEGRITI juga akan membantu Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mengkoordinasi dan memantau agensi-agensi pelaksana dalam menjayakan pelaksanaan program dan aktiviti integriti di negeri masing-masing,” kata beliau.
Menerusi Roadshow INTEGRITI segala maklumat berkaitan isu integriti di peringkat negeri akan dimuat naik dalam sistem yang dinamakan sebagai “Dashboard INTEGRITI”, yang merupakan satu paparan dalam bentuk pembangunan analisa yang berinformatif dan interaktif. Pada masa yang sama, INTEGRITI memperkenalkan produk dan instrumen yang telah dibangunkan oleh INTEGRITI iaitu Instrumen Penilaian Integriti (IAT), Profil Integriti Malaysia (MIP), Pelan Integriti Organisasi (PIO) dan Pembangunan Integriti Bersama Komuniti (PIBK) serta Modul Integriti Prasekolah (MIPs).
“INTEGRITI mengucapakn terima kasih kepada semua agensi yang terlibat terutama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. INTEGRITI menghargai sokongan yang diperlihatkan oleh kerajaan-kerajaan negeri dalam memperkukuh budaya berintegriti tinggi. Penganjuran bersama Roadshow INTEGRITI adalah satu contoh. Justeru kami mengalu-alukan pandangan dan cadangan bernas yang berterusan daripada semua pihak,” kata beliau.
Dalam pada itu, YB Dato’ Adnan berkata, susulan program Roadshow INTEGRITI pada hari ini, kerajaan negeri akan membangunkan Pelan Integriti Negeri Kelantan dan juga Pelan Integriti Pejabat SUK Kelantan bagi membolehkaan agensia-agensi kerajaan negeri mempunyai Pelan Integriti Organisasi masing-masing.
“Selepas itu kami akan menggunakan instrumen-instrumen yang dibangunkan oleh INTEGRITI seperti Profil Integriti Malaysia (MIP) bagi melahirkan warga kerja yang berintegriti dan menangani kes-kes pelanggaran integriti. Kami berharap dengan ini akan dapat mencapai sifar kes pelanggaran integriti. Itu harapan kami,” kata beliau kepada wartawan.
Hampir 300 orang yang terdiri daripada penjawat awam dan sektor swasta serta wakil pertubuhan masyarakat sivil dan bukan kerajaan mengikuti program Roadshow INTEGRITI peringkat Negeri Kelantan.
[:]