[:my]Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menganjurkan program Breakfast Talk di Ibu Pejabat JKDM di sini, hari ini bagi berkongsi pengalaman dan pandangan mengenai isu-isu berkaitan dengan usaha meningkatkan tadbir urus baik dari sudut integriti.
Sesi hari ini mengupas topik “Membanteras Ketirisan Hasil Negara”. Ia menampilkan YBhg. Dato’ Sri Subromaniam Tholasy, Ketua Pengarah Kastam, JKDM; YBhg. Dato’ Shamshun Baharin Mohd Jamil, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan YBhg Dato’ Akhbar Satar, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M).
Program Breakfast Talk INTEGRITI merupakan salah satu daripada siri program yang dianjurkan oleh INTEGRITI bagi meningkatkan pemupukan dan pembudayaan nilai-nilai integriti. Ia memfokus kepada isu-isu integriti semasa dalam negara.
INTEGRITI mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada JKDM kerana memberi kerjasama padu dalam menjayakan program kali ini, sekaligus menunjukkan komitmen tinggi Pengurusan JKDM dalam merealisasikan agenda memperkukuh budaya integriti. Kerjasama ini juga membuktikan bahawa usaha memupuk nilai-nilai integriti memerlukan kerjasama pintar dua hala dan sokongan semua pihak.
Untuk rekod, INTEGRITI dan JKDM telah pun menjalin kerjasama bagi memperkukuh budaya berintegriti dalam kalangan warga JKDM. Ini termasuklah mengendalikan ujian psikometrik iaitu Profil Integriti Malaysia (MIP) dalam kalangan warga kerja JKDM.