[:my]SERDANG, 20 April 2018: Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan menganjurkan Fiesta INTEGRITI bersempena ulang tahun kali ke-14 pelancaran Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penubuhan INTEGRITI.

Program ini diadakan di Kampus UPM, Serdang dengan pelbagai aktiviti yang menarik sepanjang semalam. Antara acara yang diadakan termasuklah pameran integriti dan pelbagai permainan yang berorientasikan nilai-nilai integriti.

Aktiviti yang lebih bersahaja ini dilihat berjaya menarik minat golongan belia untuk bersama-sama turut serta dan secara tidak langsung dapat menghayati dengan lebih mendalam makna nilai-nilai integriti.

Seterusnya pada sebelah petang, program Putra Integrity Walk telah diadakan, yang melibatkan penyertaan seramai 500 orang. Dalam pada itu Forum Eksekutif turut diadakan di sebelah malam. Forum ini mengupas tajuk Melestarikan Ihsan Dalam Mendepani Kehidupan Berintegriti. Ahli panel terdiri daripada Naib Canselor UPM sendiri, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris; Ahli Lembaga Pengarah INTEGRITI,  Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid dan Exco Siswazah Muda Majlis Belia Malaysia, Hasnul Haniff Harun.

Kemuncak sambutan adalah pelancaran Kempen Do It Right – INTEGRITI DI HATI yang menyasarkan tandatangan lebih 1,000 orang mahasiswa sebagai simbolik komitmen mereka dalam mencapai matlamat PIN dan visi INTEGRITI.

Visi INTEGRITI, yang ditubuhkan pada 23 April 2004, adalah membantu Malaysia ke arah mencapai negara berintegriti tinggi, yang berdaya tahan dan mengamalkan nilai-nilai murni sejagat.

Dalam ucapannya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, YBrs Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, usaha berterusan seperti ini perlu terus digarap untuk memupuk dan penghayatan budaya integriti terutamanya dalam golongan belia.

Berdasarkan hasil kajian INTEGRITI, yang dijalankan dalam kalangan mahasiswa tahun lalu,  menurut YBrs Dr Ahmad Fadzli, apa yang merisaukan adalah satu pertiga daripada responden menyatakan bahawa perbuatan penerimaan hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan sebagai balasan atas perkhidmatan yang diberikan bukan satu kesalahan.

“Ini salah satu contoh mengapa kita perlu menekankan kepentingan budaya berintegriti dalam kalangan orang muda seperti pelajar universiti. Oleh itu, perlu ada usaha untuk menangani persekiataran seperti itu dalam jangka panjang. Program seperti ini diyakini akan membantu ke arah itu,” kata beliau.

Memetik kata-kata YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada majlis Diskusi Intelektual di Menara INTEGRITI pada 16 Januari 2018,  YBrs Dr Ahmad Fadzli berkata, Timbalan Perdana Menteri mahu semua pihak bersatu tenaga bagi menjadikan agenda pembudayaan dan penghayatan integriti sebagai satu gerakan massa atau mass integrity movement.

Oleh itu, jelas YBrs Dr Ahmad Fadzli, usaha berterusan dengan sokongan dan gandingan semua pihak sudah pasti akan membantu negara untuk mencapai objektif PIN.

 

 [:]