Institut Integriti Malaysia (IIM) mengucapkan selamat menyambut Hari Integriti Nasional 2021 (HIN2021) bertemakan “Integriti Pemangkin Keluarga Malaysia”.

Pemilihan tema pada tahun ini adalah selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri dalam ucapan sulung beliau yang mana menekankan aspek asas keutuhan, kebersamaan dan kesepakatan negara yang terikat dengan nilai-nilai sempurna dalam sesebuah institusi keluarga serta sifatnya yang lebih inklusif dan merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

Bersempena sambutan Hari Integriti Nasional, IIM akan menganjurkan Konvensyen Integriti Nasional 2021 (KIN2021) dengan tema “Integriti Keluarga Malaysia dalam Menghadapi Endemik” pada 9 November 2021 di Institut Integriti Malaysia. Objektif utama KIN2021 adalah untuk menyediakan satu medium komunikasi perkongsian ilmu secara inklusif dalam membincangkan isu integriti dalam sistem pembangunan Keluarga Malaysia dalam mendepani endemik.

Pengisian Konvensyen ini adalah Forum yang akan membincangkan “Integriti Keluarga Malaysia dalam Menghadapi Endemik: Cabaran dan Ketersediaan Kita” dan empat (4) sesi plenari bertemakan Pendidikan, Kesihatan, Ekonomi dan Sosial akan berlangsung sepanjang Konvensyen tersebut. KIN2021 akan diakhiri dengan acara kemuncaknya iaitu pembentangan resolusi. Layari https://kin2021.www.iim.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Marilah sama-sama kita menghayati HIN2021 dengan memperkasa dan membudayakan amalan integriti dalam semua aspek kehidupan bagi memastikan negara kita sentiasa ditunjangi ahli masyarakat madani yang memiliki integriti diri yang tinggi.

#institutintegritimalaysia

#HariIntegritiNasional2021

#HIN2021

#KonvensyenIntegritiNasional2021

#KIN2021

#keluargamalaysia