Bulan November merupakan Bulan Integriti Nasional di mana tema yang diangkat pada tahun ini adalah “lntegriti Teras Keluarga Malaysia”. Pelbagai program telah dirangka bagi menjayakan sambutan Bulan Integriti Nasional antaranya menerusi penganjuran Forum Perdana Ehwal Islam : Integriti Jambatan Keberkatan yang telah disiarkan secara langsung menerusi slot rancangan Forum Perdana Ehwal Islam di TV1 pada 3 November 2022.
Forum Perdana Ehwal Islam (FPEI) anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) yang julung kali diadakan ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).
Forum ini telah menampilkan tiga orang ahli panel iaitu YBhg. Tan Sri Dr. Ismail bin Haji Ibrahim, Ahli Lembaga Pengarah IIM; YBhg. Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Selangor; dan YBhg. Dato’ Haji Badli Shah bin Haji Alauddin, Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan. Ia membicarakan topik menyentuh penghayatan nilai integriti mengikut perspektif islam.
Hadir sama pada Forum ini ialah YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq bin Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) merangkap Ahli Lembaga Pengarah IIM; YBhg. Datuk Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif IIM, YBhg. Datuk Dr. Alauddin bin Sidal, Pengarah INTAN dan YBhg. Datuk Hakimah Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM.
Penganjuran Forum Perdana Ehwal Islam ini telah dihadiri oleh seramai 350 penonton secara fizikal dan selebihnya mengikuti secara langsung di siaran TV1, Facebook live JAKIM, IIM dan INTAN.






