YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Pengarah Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM) telah dijemput sebagai salah seorang Ahli Panel Forum Keluarga Malaysia pada 9 Jun 2022 bertempat di Auditorium INTAN, Bukit Kiara.
Forum dengan tema ‘Menginstitusikan Keluarga Malaysia Sebagai Agenda Nasional’ turut mengetengahkan YBhg Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dari Institut Kajian Etnik (KITA), UKM; YBhg Prof. Datuk Dr. Denison Jayasooria dari Institute of Strategic & International Studies (ISIS) dan Puan Melissa Ngiam dari Yayasan Generasi Gemilang (YGG) sebagai ahli-ahli panel.
Dalam sesi ini, Datuk Wan Suraya telah menjelaskan bahawa fungsi IIM bukan sahaja sebagai institusi pendidikan dan latihan semata tetapi juga mencakupi fungsi-fungsi utama lain seperti penyelidikan dan pelaksanaan strategi, kempen dan program bagi mencapai aspirasi, matlamat dan objektif nasional berkaitan integriti, tadbir urus baik dan antirasuah, seperti yang termaktub dalam Memorandum IIM yang ditubuhkan pada tahun 2004.
Menurut Datuk Wan Suraya lagi, penjawat awam perlu melaksanakan tugas dan tangggungjawab yang diamanahkan secara cepat dan tepat bagi memastikan segala aspirasi, objektif dan matlamat Keluarga Malaysia akan tercapai. IIM akan terus bekerjasama dengan semua pihak untuk terus membantu Negara menjayakan agenda nasional ini.
Dalam majlis Forum ini juga, YB. Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Yang di-Pertua Dewan Negara telah menyampaikan ucaptama dan merasmikan forum.
Majlis penutupan pula telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara (KSN). Pada kesempatan itu juga, YBhg Tan Sri KSN yang juga Pengerusi IIM telah melancarkan buku “Etos Baharu Perkhidmatan Awam” yang merakamkan aspirasi beliau mengenai prinsip Trust to Serve, F.A.S.T.ER dan S.W.I.F.T.







