[:my]KUALA LUMPUR, 3 Ogos 2018: Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) menganjurkan dialog khas yang mengupas tema “Integriti Dalam Pengurusan Sempadan Negara” di Menara INTEGRITI di sini semalam.
Dialog menampilkan Pegawai Undang-Undang Persekutuan Agensi Kawalan Negara (AKSEM), Zuraida Zakaria; Pengarah Bahagian Operasi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, YBhg Dato’ Muhammad Bukhari Ab. Hamid dan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Wira Ayub Yaakob.
Zuraida mengupas tajuk “Isu dan Cabaran Pengurusan Kawalan Sempadan Negara” manakala YBhg Dato’ Muhammad Bukhari menyentuh “Usaha Meningkatkan Integriti dan Tadbir Urus Agensi Penguatkuasaan Di Sempadan Negara”. YBhg Dato’ Sri Wira Ayub membentangkan tajuk “Jenayah Rentas Sempdan dan Kesan Kepada Keselamatan Negara”.
Ketua Kluster dan Penyelaras Agensi Penguatkuasaan INTEGRITI, Harisham Ibrahim berkata, dialog ini diadakan untuk meningkatkan pemahaman tentang usaha-usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan dalam menangani isu pencerobohan sempadan negara dan juga untuk meningkatkan koordinasi serta meningkatkan kerjasama antara agensi-agensi penguatkuasa sempadan supaya pengurusan sempadan dapat dilakukan dengan lebih efisien.
“Usaha ini juga diadakan untuk mendapatkan idea dan pandangan pelbagai pihak bagi mengenal pasti langkah dan usaha yang terbaik dalam meningkatkan integriti sempadan di negara ini,” kata beliau.
Program ini disertai 60 pegawai dari pelbagai agensi penguatkuasaan. Antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Agensi Kawalan Negara (AKSEM), Surahanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).