Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) dengan diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Anis Yusal Yusoff telah mengaturkan satu sesi dialog bersama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkenaan dengan definisi rasuah.

Sesi yang dihadiri lebih 30 peserta termasuk Ketua Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan, Ketua Pegawai Eksekutif World Vision, Dato’ KJ Abraham dan pensyarah Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Prof Edmund Terence Gomez turut menyentuh cadangan dan syor penambahbaikan SPRM. Turut hadir pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai kanan SPRM.

INTEGRITI mengaturkan pertemuan julung kali ini susulan beberapa penulisan dan pandangan yang diutarakan oleh Prof. Gomez dan Dr. KJ John, Pengasas dan Pengarah OHMSI Sdn Bhd berkenaan dengan keperluan mendefinisikan semula terma rasuah terutama melihat sosioekonomi di Malaysia kebelakangan ini.

“Bagi pihak INTEGRITI, saya mengucapkan terima kasih atas kesediaan Tan Sri Abu Kassim yang meluangkan masa untuk mendengar dengan sendiri pembentangan mengenai definisi rasuah dan juga pandangan mengenai syor yang dibuat oleh IDEAS, Majlis Peguam dan beberapa pihak lain untuk menjadikan SPRM sebagai entiti yang lebih bebas,” kata Dr. Anis Yusal.

Turut hadir Prof. Seyd Hamid Aljunid, Dato’ Paduka Sulaiman Mustaffa, Dato’ Wan Fauzi Wan Hussain, Adrian Pereira, Zainuddin Omar, Shaila Koshy, Unni Menon, Tricia Yeoh, Shaza Onn, Sri Murniati, Mohd Nizam Mohd Ali, Dr. Ahmad Fadzli Tajuddin dan Alan Kirupakaran.

Dalam pembentangannya Dr John berkata, konsep rasuah dan sogokan dalam konteks Malaysia masih belum didefinisikan dengan jelas.

“Istilah rasuah amat rumit untuk didefinisikan. Oleh itu, pada pandangan saya, konsep ini memerlukan pendefinisian yang jelas,” kata beliau.

Sementara itu, Prof. Gomez mengetengahkan istilah ‘degenerative corruption’ dengan mengambil kira perkembangan dari sudut pemberian projek dan manfaat yang diperoleh sesetengah pihak.

Tan Sri Abu Kassim dalam pandangan balas beliau berkongsi bahawa negara memerlukan sistem perundangan yang lebih jelas bagi menangani cabaran-cabaran baru berkaitan perlakuan jenayah rasuah.

“Ini cabaran yang kita hadapi. Tetapi kita perlu melihat dalam konteks yang lebih luas,” kata Tan Sri Abu Kassim.

Jelas beliau, “itu sebabnya SPRM mengutarakan syor dan cadangan bagi memperkasakan aspek perundangan bagi menjadi SPRM lebih berkesan dalam tindakannya.”

“Segala pandangan yang dikongsi oleh Prof. Terence, Dr. KJ John dan Wan Saiful ada kaitan di mana kita perlu mengatasi jurang yang wujud di depan kita iaitu diperjelaskan menerusi pindaan sistem perundangan,” katanya.

Pertemuan berakhir dengan persetujuan bersama untuk mengadakan perbincangan susulan dengan SPRM dalam waktu terdekat.