[:my] Lima hari bulan Disember setiap tahun telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai Hari Sukarelawan Antarabangsa sebagai tanda menghargai mereka yang mengorbankan masa dan tenaga masing-masing tanpa mengharapkan sebarang ganjaran, sebaliknya bertindak atas nilai-nilai kemanusiaan.
Justeru, sempena sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa, Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) memutuskan untuk menguar-uarkan pendekatan semangat sukarela dengan menganjurkan Program Bicara Breakfast Talk INTEGRITI: Sukarelawan – Suka, Rela atau Sebaliknya: Perspektif Integriti dengan kerjasama Yayasan Salam Malaysia dan Yayasan Sukarelawan Siswa bagi berkongsi maklumat, pengalaman dan pengetahuan dalam soal pengurusan dan tadbir urus Badan Bukan Kerajaan (NGO), terutama dalam hal-hal kebajikan dan khidmat masyarakat.
Program hari ini menampilkan Pengerusi Yayasan Salam Malaysia, YBhg Datuk Ahmad A. Talib sebagai Pembicara Utama manakala Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff dan Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa, YBhg. Dato’ Zuraidah Atan sebagai pembincang. Sesi perbincangan dikendalikan oleh Pengarah Pusat Koordinasi, Pemantauan dan Penilaian INTEGRITI, Encik Hamilye Sham Harun.
Program Bicara Breakfast Talk INTEGRITI merupakan antara program dianjurkan oleh INTEGRITI bagi meningkatkan pemupukan dan penghayatan budaya berintegriti tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia, sekali gus mencapai sasaran Pelan Integriti Nasional (PIN).
YBhg Datuk Dr Anis Yusal percaya bahawa budaya berintegiti boleh dipupuk menerusi kerja-kerja amal dan sukarela. Kata beliau, sukarela bermakna melakukan sesuatu dengan kehendak sendiri, tanpa dipaksa-paksa atau dikerah dan dengan rela hati.
“Jadi, di sinilah, integriti seseorang itu dapat dinilai iaitu dapat melakukan sesuatu dengan kehendak sendiri, tanpa dipaksa atau dikerah, dengan niat yang ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa pulangan kepada diri sendiri,”kata beliau.
Beliau juga berkata keikhlasan dalam memberikan bantuan ini perlu disertakan dengan ‘native wisdom’ iaitu dengan menggunakan teknik ‘mapping’ dan mendapatkan maklumat awal mengenai tempat yang hendak dituju dan apa yang perlu bagi memudahkan urusan bantuan tersebut.
“Semangat kesukarelawan perlu kita terapkan kembali kerana ia adalah asas kepada perpaduan kepada sesebuah negara.
“Hal ini adalah kerana sesebuah negara digerakkan oleh masyarakat dan jika semangat kesukarelaan ini dilaksanakan secara berkumpulan, ia akan menjadi tindakan kolektif yang sekali gus menjadi nilai tambah kepada negara,” kata beliau.
Di antara isu utama yang dibangkitkan ialah mengenai perlepasan cuti apabila berkhidmat sebagai sukarela.
Menurut Dato’ Zuraidah, mengambil contoh kes banjir di pantai timur, terdapat arahan daripada Ketua Setiausaha Negara sendiri yang memberi perlepasan cuti bagi mereka yang ingin membantu golongan yang memerlukan berikutan kes bencana alam tersebut.
Beliau menambah , di sesetengah negara, sukarelawan yang bekerja di bawah sektor swasta diberikan ‘time off’ untuk melaksanakan kerja-kerja sukarela.
“Namun, integriti mereka sebagai individu wajar diambil kira, berikutan terdapat juga ramai yang menyalahgunakan ‘time off’ yang diberikan sebaliknya untuk melakukan kerja peribadi.” katanya.
Datuk Ahmad juga menyarankan agar syarikat – syarikat lebih bersikap terbuka dalam memberikan cuti khas tanpa rekod untuk pekerja yang ingin melakukan aktiviti sukarelawan dengan syarat, mereka hendaklah memohon terlebih dahulu dan menyatakan apa bentuk aktiviti sukarelawan beserta bukti.
“Ini membolehkan mereka mengambil cuti tanpa menggunakan cuti tahunan mereka.
“Kementerian atau syarikat tersebut juga boleh menetapkan peruntukan jumlah hari untuk kerja sukarelawan agar ianya tidak menganggu produktiviti syarikat dan ianya tidak disalahgunakan oleh mereka yang tidak beretika,” katanya.
[:]