[:my]PUTRAJAYA, 13 September 2018 – Ada pepatah yang mengatakan “tiada guna kaya kalau tidak sihat” dan ini merujuk kepada kesihatan sama ada fizikal atau mental.

Kepentingan kesihatan yang baik acapkali ditekankan oleh bukan sahaja daripada doktor yang menjalankan rawatan, tetapi oleh semua yang menyayangi kita.

Unjuran daripada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia menyambut baik ‘buah tangan’ INTEGRITI dengan menganjurkan Breakfast Talk Integriti yang bertemakan “Kesihatan Untuk Semua Orang dan Di Mana-mana: Perspektif Integriti” di Dewan Serbaguna, Kementerian Kesihatan Malaysia di sini, hari ini.

Perbentangan dimulakan dengan perkara asas dalam menjaga kesihatan fizikal, iaitu menurut Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, YBhg. Dato’ Seri Dr. Chan Chaw Min, “langkah yang paling mudah adalah dengan menjaga pola pemakanan dan mengamalkan gaya hidup aktif yang mampu menjadikan sistem peredaran darah lebih baik serta menjadikan sistem imunisasi yang lancar.”

Beliau juga menekankan kepentingan dalam insiatif memantapkan Unit Integriti Kementerian Kesihatan termasuk dengan membawa masuk pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu meningkatkan aspek tadbir urus.

Selain Dato’ Seri Dr. Chan sebagai pembicara utama, program hari ini turut menampilkan Pengurus Besar Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Farahida Dato’ Mohd Farid dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan, Majlis Sukan Negara, Suhardi Alias  sebagai  pembincang.

Farahida dalam pembentangannya mengulas mengenai Prinsip RGT iaitu Right, Good and Truth – prinsip yang digunakan oleh MAKNA dalam memastikan kesihatan fizikal dan mental seseorang.

Menurut beliau lagi, MAKNA menekankan prinsip RGT untuk melawan kanser dan mengurangkan penderitaan para pesakit.

Mewakili Majlis Sukan Negara, En Suhardi Alias menekankan kepentingan sukan dan rekreasi di Malaysia dengan mewujudkan lebih banyak kemudahan untuk rakyat bersukan dan menjalan aktiviti rekreasi.

Infrastruktur sukan dan rekreasi perlu ditambah untuk semua bagi untuk tujuan pembentukan sosial budaya negara yang sihat, katanya.

Selain itu, beliau turut mengakui bahawa faktor integriti memainkan peranan yang amat penting terutama dalam pemilihan jurulatih, yang sebahagiannya diambil daripada negara luar.

Ini adalah kerana, menurut Suhardi, kebanyakkan jurulatih kurang memperlihatkan etika yang betul.

Program ini dihadiri oleh seramai 250 pegawai dan staf Kementerian Kesihatan Malaysia dan mendapat sambutan menggalakkan dari sudut pembincangan para ahli panel dan sudut pameran.

 [:]