Institut Integriti Malaysia (IIM) telah mengadakan Bengkel Semakan dan Pemurnian Modul Integriti Penguatkuasa (MIP) pada 28 April 2022 bertempat di Dewan Murni, Menara Integriti, IIM.
Bengkel tersebut telah dilancarkan oleh YBhg Datuk Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif IIM. Turut hadir, YBhg. Dato’ Sri Azri Bin Ahmad, Pengarah, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), PDRM dan YBrs. Tuan Haji Ismail Bin Mokhtar, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp. Mereka juga turut meluangkan masa untuk mendengar pembentangan dari peserta bengkel disamping menyumbangkan buah fikiran masing-masing dalam proses menambah baik MIP ini.
Bengkel Pemurnian ini melibatkan seramai 32 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi penguatkuasaan di negara ini seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), RELA, Jabatan Perikanan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Penerbangan Awam dan lain-lain lagi. Turut hadir adalah wakil daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan juga Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
Para peserta telah dipecahkan kepada tiga (3) kumpulan perbincangan mengikut Sub-Modul MIP iaitu;
i). Integriti Cerminan Diri dan Organisasi;
ii). Membetulkan Yang Biasa, Membiasakan Yang Betul; dan
iii). Menginstitusikan Integriti.




