casfeb3Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab memantau pelaksanaan Pelan
Integriti Nasional (PIN), Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) sering
dijadikan tempat rujukan penyediaan Pelan Integriti.

Kelanjutan daripada itu, satu Bengkel Pemurnian Pelan Integriti Polis Diraja
Malaysia (PDRM) telah diadakan di Menara Integriti selama lima hari bermula 15
Februari yang lalu. Pelaksanaan bengkel berkenaan adalah bagi membantu PDRM
membuat semakan semula terhadap Pelan Integriti PDRM (PIPDRM) sedia ada untuk
tempoh 2016-2020.

Antara skop yang disentuh sepanjang bengkel ialah berkaitan pelaksanaan analisis
secara terperinci tentang pencapaian PIPDRM sedia ada yang masih diguna pakai
oleh PDRM. Di samping itu, bengkel ini turut membantu PDRM mengenal pasti isu
serta masalah dalaman organisasi berkenaan dan tanggapan masyarakat terhadapnya
berdasarkan konteks integriti.

Menerusi bengkel ini, satu pelan pelaksanaan strategik untuk membimbing warga
PDRM bergerak ke hadapan menerusi pelbagai program dapat dirangka. Ini perlu
agar setiap warga PDRM sentiasa ‘sehaluan’ dan bersatu padu sebagai satu pasukan
yang mantap sama ada pada peringkat pengurusan mahupun operasi.