Bagi mengimarahkan kehadiran bulan Ramadan, Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) telah menganjurkan Forum Perdana Ehwal Islam: Integriti Mengislah Ummah yang menyentuh amalan integriti dan tata kelola dalam kehidupan pada 16 Mac 2023 bertempat di Auditorium, IIM.

Tajuk Integriti Mengislah Ummah yang diangkat pada Forum kali ini juga bertepatan dengan dasar kerajaan terutama dalam penghayatan nilai integriti dan tata kelola terbaik mengikut perspektif Islam. Ianya juga bagi menzahirkan amanat YAB Perdana Menteri supaya semua penjawat awam mengamalkan tata kelola dan urus tadbir terbaik dan supaya masyarakat mendokong agenda Malaysia MADANI.

Hadir sama pada Forum ini ialah YBhg. Dato’ Dr Zulkapli bin Mohamed, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam; YBhg. Datuk Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif IIM; YBhg. Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin bin Ali, Ahli Lembaga Pengarah IIM; YBhg. Datuk Dr. Alauddin bin Sidal, Pengarah INTAN serta Ketua-Ketua Jabatan termasuk Agensi Sektor Awam dan Swasta.

Forum Perdana Ehwal Islam pada kali ini telah dihadiri oleh lebih 300 orang penonton secara fizikal dan ditonton secara langsung di siaran TV1, Facebook live JAKIM, IIM dan INTAN.