YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan bagi bulan Oktober 2022, merasmikan Dewan Murni serta melancarkan Bulan Integriti Nasional 2022 Peringkat IIM pada 1 November 2022.
Pada majlis ini, beliau telah berkongsi pelbagai aktiviti yang dilaksanakan IIM sepanjang bulan Oktober 2022 antaranya kejayaan menjalinkan kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Program Kesedaran Pembangunan Integriti Bersama Komuniti (CIB) di Sarawak.
Sempena sambutan Bulan Integriti Nasional 2022, Datuk KPE turut menyeru warga IIM untuk terus menyemarakkan semangat pembudayaan nilai integriti. Pada bulan ini juga, IIM dengan kerjasama beberapa pihak termasuk sektor awam dan swasta juga akan melaksanakan pelbagai program bagi tujuan memantapkan pembudayaan nilai-nilai tadbir urus, integriti dan anti rasuah.
Antara program yang telah dirangka termasuklah menerusi penganjuran Forum Perdana Ehwal Islam : Integriti Jambatan Keberkatan yang akan disiarkan secara langsung menerusi slot rancangan Forum Perdana Ehwal Islam di TV1 pada 3 November 2022 (Khamis), jam 9.00 malam hingga 10.00 malam.
Seluruh warga kerja turut membaca Ikrar Integriti Korporat IIM sebagai tanda komitmen dalam melaksanakan tugas dengan penuh integriti.









