Institut Integriti Malaysia (IIM) telah mengadakan sesi perbincangan berkaitan pelaksanaan Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) bersama-sama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 16 Mac 2022.
Delegasi SPRM diketuai oleh YBhg. Datuk Seri Norazlan bin Mohd Razali, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM serta Puan Salwa Binti Muharam, Timbalan Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM.
Sesi pertemuan ini diadakan bertujuan untuk menyelaras dan memantapkan pengurusan pembangunan Modul CISM.
SPRM juga bersetuju untuk menyerahkan pengurusan Portal CISM kepada IIM.
Sehubungan itu, kedua belah pihak bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa teknikal antara IIM dan SPRM untuk meneliti semula dan menambahbaik Modul CISM dan pengurusan Portal CISM.
Selain itu, kedua pihak juga mencapai persetujuan supaya Ketua Pegawai Eksekutif IIM akan kekal sebagai Pengerusi Mesyuarat Anggota Meja Bulat (RTD) CISM. Mesyuarat pertama RTD CISM dijadual diadakan pada pertengahan bulan April 2022. Selain IIM dan SPRM, ahli-ahli RTD CISM terdiri daripada Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Bursa Malaysia, Transparency International (TI) Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
CISM merupakan suatu inisiatif Kerajaan untuk memupuk nilai-nilai etika dan integriti dalam budaya perniagaan di Malaysia terutamanya dalam kalangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
#InstitutIntegritiMalaysia
#SPRM
#CISM



